MAA DZAA BA’DA RAMADHAN Oleh Alfadzil Drs. KH. Harun Tafsir, M.ag
MAA DZAA BA’DA RAMADHAN
(Apa selepas Ramadhon) ?
Satu hari sudah, Ramadhan berlalu. Masa begitu pantas berjalan. Inilah sunnatullah terhadap alam ciptaan-Nya. Terasa baru semalam kita menyambut kedatangan Ramadhan, dan sekarang sudah pergi, sedangkan hati kita masih belum puas dan sentiasa merinduinya. Perpisahan yang belum pasti kita dapat bertemu semula.
Para Zu’ama’ memperhatikan tingkah manusia ketika hadir bulan Ramadhan, kemudian membaginya kepada tiga golongan, yaitu :
GOLONGAN PERTAMA
Mereka yang sentiasa dalam ketaatan sebelum kedatangan Ramadhan. Apabila datang Ramadhan, mereka semakin rancak dan bersungguh-sungguh beribadah dengan berpuasa, qiamullail, sedekah, membaca al-Qur’an, sholat silaturrahmi dan segala yang mendatangkan keredhaan Allah SWT.
Apabila Ramadhan berlalu mereka sangat sedih kerana mereka telah mengecapi nikmat dan kelazatan beribadah sepanjang Ramadhan. Air mata mereka mengalir dan hati mereka merindui Ramadhan yang berikutnya. Mereka terus dalam taat di antara harap dan takut.
Mereka memahami bahawa ibadah dan taat bukan hanya di dalam bulan Ramadhan semata-mata, tetapi setiap masa ketika selagi hayat dikandung badan. Kerana amalan yang paling baik adalah yang berterusan.
GOLONGAN KEDUA:
Mereka yang lalai dan leka sebelum kedatangan Ramadhan. Apabila datangnya Ramadhan, mereka berubah dan bersungguh-sungguh melakukan ketaatan dengan pelbagai amal soleh. Namun selepas Ramadhan pergi, ibadah dan amalannya juga turut pergi jauh entah ke mana. Mereka kembali lalai dan melakukan maksiat seperti sebelum Ramadhan.
Ramadhan adalah penjara bagi mereka. Apabila Ramadhan habis maka mereka bebas semula tanpa ikatan taat dan amal. Mereka adalah ahli ibadah bermusim yang hanya mengenal Allah SWT mengikut musim tertentu. Maka apakah ertinya mereka beribadah selama sebulan Ramadhan sedangkan selepas itu kembali kepada perangai lama ?
Firman Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 92 bermaksud:
"Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang menenun kain. Tetapi setelah tenunannya kuat dan indah, dia bongkar kembali........ " Begitu berlaku ulang kali.....
Itulah perumpamaan Golongan Kedua. na'dzubillah min dzalik.
GOLONGAN KETIGA:
Mereka yang memasuki bulan Ramadhan tanpa sebarang perubahan, Keadaannya sama seperti sebelum kedatangan Ramadhan, lalai, leka dan bergelumang dengan dosa. Ramadhan tiada makna bagi mereka. Apabila Ramadhan berlalu mereka masih begitu bahkan lebih malang lagi jika menjadi lebih jahat dari sebelumnya.
Semoga kita semua termasuk GOLONGAN PERTAMA dengan meneruskan ketaatan dan amal soleh kepada Allah walaupun selepas Ramadhan berlalu. Amin.
------------------
Kampung Likas, 1 Syawwal 1441 H.
Komentar
Posting Komentar